Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Dengan kekuatan lebih sejuta ahli-ahlinya, Pas mampu berdepan dan menewaskan satu lagi gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) walaupun berdepan saingan tiga penjuru nanti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin HassanĀ 

Keyakinan itu dilontar oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti-parti komponen dalam PH pasti tidak mampu berdepan dengan jentera mereka yang kuat dan setia kepada parti Islam tersebut.

“Pas kini mempunyai keahlian lebih satu juta orang di seluruh negara dan kita yakin boleh menewaskan lawan dalam PH (pakatan pembangkang),” kata Takiyuddin yang dipetik berkata dalam satu ceramah di Dungun malam tadi.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pintu rundingan dengan mana-mana parti dalam PH sudah ditutup dan mereka tidak akan berunding lagi.

“Kita sudah putuskan tidak akan bekerjasama dengan PKR untuk PRU-14 tetapi Pas sentiasa beri peluang dan ruang kepada semua pemimpin parti untuk mengadakan perbincangan seperti keputusan dibuat oleh Majlis Syura Ulama.

“Keputusan untuk tidak menjalin kerjasama politik dengan PKR dan parti dalam gabungan (pembangkang) sehingga PRU-14 sudah muktamad dan diputuskan pada mesyuarat tertinggi parti itu akhir bulan lalu,” katanya.

Beliau juga mendakwa serangan dan kecaman dihadapi Pas daripada parti pembangkang lain terutama DAP dan PPBM selepas mereka memutuskan kerjasama politik membuktikan ia digeruni lawan. – MalaysiaGazette