Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (dua kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rosnah Ramly (kanan) melawat ke gerai pameran pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Kebangsaan 2017 di MAEPS Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2017.

SERDANG – Kementerian Kesihatan mengesahkan seramai 400,000 orang terlibat dalam saringan pemeriksaan kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira 200,000 telah dirujuk ke saringan lanjutan di klinik sebelum 20 peratus daripadanya dikenalpasti menghidap penyakit kencing manis, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam hari ini.

Menurutnya, saringan itu dilakukan oleh sebanyak 40,000 sukarelawan Program Komuniti Sihat, Pembina Negara (KOSPEN) yang dilatih dalam kalangan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara.

“Program ini julung kali dilaksanakan hasil cetusan idea saya sendiri untuk memastikan mereka sukarelawan yang dikenali sebagai kumpulan Gerak Sihat 1Malaysia (GS1M) menjadi ejen perubahan kesihatan untuk memperkasa masyarakat di bandar dan di desa dengan kesedaran mengenai penyakit NCD.

“Saya gembira ia menampakkan hasil yang memberangsangkan apabila dilaksanakan sejak tahun 2013 lagi.

“Bayangkan, sebanyak 50 peratus daripada 200,000 orang yang dirujuk sukarelawan KOSPEN ke saringan lanjutan di klinik kesihatan telah disahkan sama ada diabetes atau hipertensi dan 20 peratus lagi pada tahap pra-diabetes atau pra-hipertensi.

“Jika mereka tidak disaring dan diperiksa sudah pasti golongan dikesan hipertensi dan kencing manis ini terlepas dari pandangan kita,” katanya semasa berucap dan menyempurnakan Penutupan Konvensyen KOSPEN di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Kebangsaan 2017 di MAEPS Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2017.

Tambah Subramaniam, program KOSPEN dilaksanakan dengan kerjasama jitu beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam pembentukan sukarelawa kesihatan dalam kalangan masyarakat yang dilatih sebagai ejen perubahan kesihatan.

Justeru, jelas beliau, program berkenaan mendekatkan kesedaran kesihatan penyakit tidak berjangkit kepada rakyat berpandukan falsafah “dari masyarakat kepada masyarakat.

“Dengan kaedah ini kita memperkasa individu dan masyarakat ke araha penerapan polisi kesihatan serta pewujudan amalan gaya hidup sihat, pemeriksaan saringan keishatan secara tetap dan faktor risiko dalam komuiti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam juga menjelaskan, pihaknya memerlukan satu peruntukan tambahan untuk terus memperluas dan memperkasa KOSPEN secara komprehensif.

“Menyedari hakikat ini, saya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyediakan peruntukan tambahan dalam Bajet 2018 Oktober ini supaya memantapkan lagi usaha kami ke arah pembentukan rakyat yang sihat sejahtera sekali gus mencetuska anjakan paradigma kesihatan yang berkelas dunia,’ tegasnya lagi. – MalaysiaGazette