NEW YORK – Pemain tenis wanita, Sloane Stephens merangkul kejuaraan Grand Slam pertamanya pada Terbuka Amerika Syarikat semalam.
Pemain bukan pilihan kelahiran AS itu menampilkan aksi memberangsangkan di aksi akhir sebelum mengenepikan cabaran rakan senegaranya, Madison Keys.
Stephens menundukkan Madison 6-3 6-0 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Arthur Ashe.
“Sangat menakjubkan. Jika seseorang memberitahu saya semasa jalani pembedahan bahawa saya akan menang Terbuka AS, saya akan menjawab bahawa itu sangat sukar.
“Saya tak sangka boleh mencapai ke tahap tinggi sebegini dan hanya ingin berterima kasih kepada pasukan saya yang sentiasa berada di sisi dalam keadaan sukar,” katanya.
Pemain yang menduduki rangking ke-83 dunia itu mempunyai kemahiran pertahanan yang tinggi sehingga mampu menepis setiap cubaan dari Keys pada set pertama.
Stephens berusia 24 tahun gembira menjulang Grand Slam pertama dalam kariernya selepas berehat selama 11 bulan akibat keretaka pada kaki kiri sebelum ini.
Dia tidak dapat berjalan selepas menjalani pembedahan pada Januari lalu dan hanya kembali ke kejohanan jelajah WTA pada Julai lalu.
Stephens juga muncul sebagai jaguh tenis wanita kelima dari kedudukan rangking terendah dunia menang gelaran berprestij itu.
Key bercakap kepada Sky Sports menjelaskan,” Stephens antara pemain kegemaran saya dan berasa sangat istimewa untuk beraksi dengannya.
“Memang benar saya tidak menonjolkan aksi sebenar saya dan sangat kecewa namun saya gembira kalah dengan Stephens,” katanya. – MalaysiaGazette