Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memandu kereta klasik beroda tiga Morgan pada majlis pelepasan hari ketiga KMJ 2017 di Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam.

SEGAMAT – Biarpun hujan lebat, rakyat Johor terutamanya di daerah ini tetap setia menunggu kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 di Dataran Segamat di sini sejak pagi.

Keadaan cuaca itu juga tidak menghalang Sultan Ibrahim yang memandu kereta klasik beroda tiga Morgan buatan Britain yang tidak berbumbung meredah hujan untuk menemui rakyatnya.

Baginda tiba pada jam 12.15 tengahari untuk bertemu penduduk di kawasan tersebut selain menghadiri majlis santapan yang dimeriahkan dengan dengan persembahan artis antaranya Aiman Tino dan Amira Othman.

Sultan Ibrahim kemudian menyambung perjalanan KMJ 2017 ke Laman Herba Kampung Sagil Parit 2, Medan Selera Taman Serom Utama dan Dataran SRCC sebelum baginda dijangka berangkat bersemayam di Muar.

Terdahulu, baginda memulakan hari ketiga KMJ 2017 dari Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Kluang ke lokasi pertama kembara di Bandar Baru Ayer Hitam.

Baginda tiba kira-kira pukul 9 pagi dan beramah mesra dengan penduduk kawasan itu selain berkenan singgah membeli-belah di Kedai Cenderahati Wisnee Marketing.

Semasa di Kem Batalion 5 PGA itu, Sultan Ibrahim bertitah, kembara tersebut mungkin yang terakhir buat baginda mengetuainya sekali gus mahu menyerahkan tanggungjawab itu kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.

“Saya rasa tahun ini tahun terakhir saya. Saya nak serah pada Tunku Mahkota. Saya nak tengok macam mana beliau menerajui kembara. Saya
sudah didik dia dan saya akan datang sebagai tamu je. Kalau dijemput,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda berhasrat membuat pengumuman berhubung penglibatan terakhirnya dalam KMJ kepada sekian rakyat.

“Saya nak buat ‘announcement’ itu, tetapi saya tak sampai hati. Jadi selagi ada keringat saya teruskanlah (KMJ),” titahnya. – MalaysiaGazette