Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi bersalaman dengan sebahagian orang ramai yang hadir pada sesi Dialog Perdana Industri Halal 2017 anjuran Halal Industry Development Coproration (HDC) di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Syarikat multinasional (MNC) di negara ini harus membuka pintu kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) yang diterajui usahawan Bumiputera supaya produk dikeluarkan syarikat berkenaan setaraf dengan keluaran antarabangsa.

Serentak itu juga, syarikat Bumiputera diingatkan supaya merebut peluang yang ada dengan menceburkan diri dalam bidang eksport, bukan hanya tertumpu kepada import semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid ketika membuat saranan itu berkata, jika syarikat Bumiputera mahu berjaya dan melebarkan produk perniagaan mereka hingga ke peringkat antarabangsa, mereka harus keluar dari kepompong lama, iaitu berpuas hati dengan pasaran tempatan.

“Kita tengok beberapa negara kecil dan mundur di dunia, kenapa mereka menjadi tumpuan negara-negara maju? Sebab negara berkenaan mengusahakan produk dengan kapasiti yang banyak dan lebih kepada mengeksport.

“Usahawan kita pula minat mengimport produk dari luar. Padahal, produk yang diimport itu kualitinya lebih rendah berbanding kualiti produk tempatan yang diiktiraf oleh kebanyakan negara luar.

“Kepompong sempit ini yang kita harus tinggalkan. Kita perlu belajar daripada syarikat yang jauh lebih maju dari kita sekiranya kita mahu berjaya dan mencipta nama di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan peserta dalam Dialog Perdana Industri Halal 2017 anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sempena pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 di Dewan Tun Dr. Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid pada mulanya duduk di kerusi ketika sesi dialog itu, telah mengubah kepada posisi berdiri dengan harapan semua hadirin yang terdiri daripada usahawan PKS dapat melihat serta berinteraksi bersama beliau secara lebih santun.

Mengenai saranannya kepada syarikat MNC, beliau berkata, semuanya bergantung kepada usahawan PKS kerana mereka mempunyai hak untuk mengetuk pintu syarikat multinasional itu supaya dapat membantu dengan memasarkan produk ke peringkat global.

“Saya tahu ada syarikat kecil hendak pasarkan sendiri produk mereka, tetapi sejauh mana mereka dapat melangkahkan kaki ke peringkat antarabangsa, kalau tidak dengan bantuan dan pertolongan syarikat MNC.

“Pergilah (PKS) ketuk pintu mereka (MNC). Beritahu mereka, anda perlukan bantuan syarikat berkenaan untuk pasarkan produk anda.

“Saya akan duduk bersama ketua-ketua jabatan dan agensi serta CEO syarikat MNC untuk membincangkan kaedah terbaik bagi membantu usahawan Bumiputera agar maju dan setanding dengan usahawan negara luar,” katanya.

Beliau turut memberitahu pengalamannya ketika melakukan lawatan rasmi ke negara luar, yang mana banyak produk tempatan telah menembusi pasaran dunia, tetapi tidak secara menyeluruh.

“Ini bermakna negara luar menerima dan mengiktiraf kualiti produk kita. Kenapa kita tidak ambil kesempatan itu untuk mengeksport dalam kuantiti yang banyak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast