Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menunjukkan isyarat tanda bagus ketika menaiki LRT yang diwarnai dengan pelekat SPRM pada Kempen Pencegahan Rasuah Pengangkutan Awam SPRM bersama Prasarana Berhad di Stesen LRT Bangsar-LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertegas tidak mahu memohon maaf di atas kenyataannya mengenai penahanan salah seorang ahli exco negeri itu baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata kes itu sudah berada di tangan Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menjelaskan perkara itu telah pun dirujuk ke pejabata Peguam Negara dan masih menanti maklum balas daripada pejabat berkenaan.

“Tunggulah, kita sudah beritahu bahawa kepimpinan tertinggi SPRM akan meneruskan tindakan kita dan kita rujuk perkara tersebut kepada Peguam Negara.

“Tindakan seterusnya akan kita beritahu kemudian,” katanya.

Dzulkifli berkata demikian selepas merasmikan kerjasama antara SPRM dan Prasarana menampal mesej anti rasuah di bahagian luar dan dalam tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

SPRM awal bulan ini memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Guan Eng setelah tempoh 24 jam diberikan kepada beliau untuk menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf, namun tiada tindakan sedemikian dibuat.

Guan Eng sebelum ini berkata, penahanan ahli exco, Phee Boon Poh berhubung kilang haram di Bukit Mertajam adalah “penahanan haram”.

Pada 13 Ogos lalu, SPRM menyerbu dua buah rumah dan juga pejabat anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditahan bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast