Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah (duduk tengah) bersama barisan jentera PEKIRA melaungkan Hidup PEKIRA pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya PEKIRA PRU14 dan Dana Usahawan di Hotel SANI, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang masih belum meluluskan penubuhan parti tersebut tetapi berbeza layanan diberikan kepada pembangkang yang dilihat dipercepatkan kelulusan mereka.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, KDN diharap dapat memainkan peranan dengan lebih proaktif dalam memberikan kelulusan kepada Pekira memandangkan kebanyakan ahli mereka merupakan penyokong dan pengundi Barisan Nasional (BN).

“Harap KDN main peranan dalam memberikan kelulusan parti sedangkan parti pembangkang lain boleh lulus dengan cepat.

“Kita sokong kerajaan jangan pula pengundi ini lari pula saya tidak bagi jaminan,” kata beliau semasa pelancara jentera pilihan raya di Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Mohd Ridzuan, pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberitahu mereka kelulusan parti politik adalah di tangan Menteri Dalam Negeri sepenuhnya.

Menurut Mohd Ridzuan, Pekira ketika ini memiliki kira-kira 15,000 ahli berdaftar seluruh negara sejak dua bulan penubuhan parti itu dan ketika ini sedang menyusun wakil-wakil di seluruh negara.

Jelas Ridzuan lagi, Pekira kini turut mensasarkan 200,000 keahlian sehingga hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, mereka akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi mengemukakan permasalahan yang berlaku dalam kalangan usahawan yang berdaftar di bawah parti tersebut.

Pekira kini masih lagi sedang mengumpul maklumat daripada usahawan tersebut melalui borang kajian yang diagihkan melalui Pengerusi setiap negeri.

“Kita lihat ini adalah cara yang berkesan untuk kemenangan parti BN. Perkira berharap usahawan baru akan muncul dan kita dapat mengurangkan beban usahawan kecil ini.

“Kita nak pastikan setiap pemohon apa yang mereka minta tu dapat,” katanya.

Tambahnya, perjumpaan dengan Najib itu akan dibuat pada bulan ini juga.

“Kita akan buat kunjungan hormat dengan PM, kita nak bantu parti BN pada PRU14,  kita akan sampaikan hasrat usahawan kecil, yang berniaga di tepi jalan dan sebagainya kepada PM.

“Setelah mereka isi borang ni, mereka cerita dalam borang itu apa bantuan diperlukan sebenarnya, kemudian borang itu akan diserahkan mengikut negeri,” katanya. – MalaysiaGazette