Amirudin Shari

SHAH ALAM – Tindakan PAS meletakkan syarat supaya PKR keluar daripada Pakatan Harapan sekiranya ingin kedua-dua parti itu terus menjalinkan kerjasama politik, dianggap tidak wajar.

Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari berkata desakan itu dilihat tidak selari dengan matlamat PKR yang bersikap terbuka dengan semua parti pembangkang selain mahu setiap parti pembangkang membentuk kesatuan yang utuh terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“PKR masih berpegang kepada pandangan bahawa semua parti pembangkang perlu ada kesatuan dan kita juga sedang berusaha ke arah itu.”

“Semua orang boleh beri cadangan termasuk PAS, namun kami konsisten dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebelum ini bahawa kesatuan semua pembangkang itu menjadi keutamaan kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Selangor 2018 di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari semalam bahawa parti Islam itu hanya akan membuka pintu rundingan dengan PKR sekiranya PKR meninggalkan Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP, iaitu parti yang PAS bertegas menolak menjalin sebarang hubungan politik lagi.

Sebelum ini, Anwar dalam suratnya mengakui bahawa beliau telah mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak memutuskan hubungan dengan PAS selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan perbincangan.

Surat itu dilapor dikeluarkan susulan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada awal bulan lepas bersetuju untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS termasuk membabitkan PRU14.– BERNAMA

1 Komen

  1. tak wajar apa nya . syarat orang tak suka dimadu kalau nak kan saya tinggal dia. memang patut lah tu. kalau pkr masuk pas granti bolih menang merintah malaysia hadi jadi pm . azmin bolih bawa tikar bantal kerumah pas sekarang kenduri akan dibuat pada hari malaysia nanti 16 sep

Comments are closed.