Gambar hiasan

SINGAPURA – Tiga puluh peratus daripada pekerjaan di bank akan diambil alih oleh robot dan AI (artificial intelligence) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Vikram Pandit, individu yang menguruskan Citigroup Inc. semasa krisis kewangan lalu berkata, perkembangan teknologi sekarang bakal menyaksikan perubahan besar dalam kerja-kerja perbankan.

“Semuanya melibatkan AI, robot dan bahasa semulajadi dan ia menjadikan proses-proses tersebut lebih mudah,” katanya dalam satu temubual hari ini dengan Bloomberg Television di Singapura.

Beliau kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Orogen Group, sebuah firma pelaburan yang diasaskan beliau tahun lepas.

Sementara ramalan Pandit berkenaan kehilangan pekerjaan ini sejajar dengan unjuran dibuat Citigroup tahun lepas, ramalan beliau lebih agresif.

Dalam laporan pada Mac 2016, kumpulan perbankan itu menganggarkan pengurangan sebanyak 30 peratus di antara tahun 2015 dan 2025 disebabkan terutamanya oleh penggunaan automasi dalam perbankan runcit.

Ini menyaksikan kerja-kerja sepenuh masa jatuh sebanyak 770,000 di Amerika Syarikat dan kira-kira satu juta di Eropah, kata Citigroup.

“Industri perbankan menjadi terlalu kompetitif,” kata Pandit sambol menambah yang beliau menjangkakan pertumbuhan “penyedia kepakaran” serta penggabungan dalam industri.

“Saya melihat dunia perbankan yang sebelum ini sebuah institusi kewangan yang besar menjadi satu yang lebih desentralisasi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast