KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan orang ramai agar tidak mengganggu wanita yang didakwa cuba memeluk dan mencium baginda ketika konvoi DiRaja singgah di Bandar Baru Ayer Hitam sempena program Kembara Mahkota Johor 2017 pada Isnin lalu.

Tuanku Sultan Ibrahim menegaskan wanita itu tidak mencium baginda dan perkara ini jelas sebagaimana dalam rakaman video.

“Beliau cuba berkata sesuatu di telinga kiri saya tetapi saya tidak dapat mendengar kerana keadaan persekitaran yang bising,” titah Tuanku Sultan kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, wanita itu tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan meminta polis supaya lebih bijaksana dalam mengendalikan kes ini.

Kejadian pada jam 8.45 pagi itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera ketika Sultan Ibrahim berangkat tiba di Taman Medan Putra, Ayer Hitam sempena program Kembara Mahkota Johor 2017.

Wanita itu didakwa memeluk bahu kanan dan cuba mencium pipi kiri Tuanku Sultan, sebelum ditahan pihak polis untuk diambil keterangan berhubung tindakannya dan siasatan masih dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast