KUALA LUMPUR – Fitnah pembangkang berhubung pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump gagal mempengaruhi rakyat.
Malah, dakyah mereka untuk memburuk-burukkan pertemuan itu juga berakhir dengan kejayaan cemerlang Perdana Menteri dalam misi mengukuhkan hubungan dua hala dengan AS.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, sekarang ini pembangkang menggigit jari kerana usaha mereka untuk mengabui fikiran rakyat agar bersikap negatif terhadap Najib tidak membuahkan hasil.
“Sebaliknya rakyat tahu pertemuan pemimpin mereka dengan Trump adalah untuk mengeratkan kerjasama dari segi pengukuhan ekonomi yang pastinya memberi manfaat kepada kita semua,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, harapan dan hasrat pemimpin tertinggi pembangkang untuk melihat Najib ditahan oleh pihak berkuasa AS juga turut lebur.
“Mereka beriya-iya hendak tengok pihak berkuasa menahan Perdana Menteri, tetapi tidak berlaku, sebaliknya Najib disambut penuh meriah oleh Trump dan kerajaannya.
“Sebenarnya, pembangkang mengharapkan pertemuan itu tidak berlaku. Mereka mahu pertemuan itu gagal dan Perdana Menteri menerima malu,” katanya.
Kata Mohd Puad lagi, pembangkang juga bimbang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin tidak relevan untuk digunakan sebagai modal memfitnah Najib dan kerajaan Barisan Nasional. – MalaysiaGazette