Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – “Kita minta dia mulakan rundingan dahulu… kalau ada apa-apa perkembangan positif, baru kita bincang lebih lanjut.”

Itu tegas kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution merujuk kepada bekas pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau jelas tidak bersetuju gesaan Ambiga supaya PKR memulakan dahulu rundingan dengan Pas agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Jelasnya, jika Ambiga menyahut saranannya, peguam itu akan berdepan dengan ramai pemimpin tertinggi Pas seperti Mursyidul Amnya, Hashim Jasin; Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali; Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan dan AJK Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

“Pergilah jumpa mereka, bincang. Jangan desak PKR atau Pakatan Harapan (PH). Kita tidak akan berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas gesaan Ambiga kepada PH agar mengadakan rundingan dengan Pas dalam usaha mengelakkan daripada berlaku pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya ini.

Ujar peguam itu, pemimpin PH perlu menyedari hakikat pertembungan satu lawan satu sahaja dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan percaya itulah juga yang menjadi tujuan Pas apabila berdepan dengan PRU. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast