Reaksi wajah sebahagian waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat kelihatan sedih ketika menanti perkembangan proses pemadanan DNA di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 14 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Proses pengecaman mayat mangsa insiden kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung awal pagi ini sukar dilakukan kerana kesan kebakaran yang teruk.

Noor Aini Kamarudeen, 31, Cheras, kakak ipar kepada seorang mangsa, Muhammad Haikal Abdullah, 12, berkata pengecaman kali kedua hari ini tidak dapat disahkan waris iaitu ibu serta adik-beradik arwah dan terpaksa menunggu hingga hari esok untuk keputusan ujian DNA.

“Berdasar gambar yang kami lihat, mayat yang sudah rentung itu ada memakai ‘sweater’, cincin dan jam tangan. Kami tidak dapat kenal pasti sebab mayat terbakar seluruh badan.

“Apapun keputusan ujian DNA esok (hari ini) kami sekeluarga redha,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata arwah yang merupakan anak bongsu dari tujuh beradik itu baharu menyambut hari kelahirannya pada 6 Sept lalu.

Noor Aini menyifatkan arwah adik iparnya itu seorang yang periang dan manja.

“Dia sangat manja, suka senyum dan ceria. Ibu mertua saya baru melawat arwah di tahfiz semalam. Minggu lalu kami sekeluarga bawa dia bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa, tidak sangka itu kesempatan terakhir kami bersama,” katanya dengan linangan airmata.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang merupakan warden terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz itu pada 5.15 pagi tadi.- BERNAMA