Home Dunia Bangladesh beri amaran kepada Myanmar

Bangladesh beri amaran kepada Myanmar

Pelarian Rohingya turun daripada bot selepas menyeberangi sempadan Myanmar-Bangladesh di Teluk Benggal, di Shah Porir Dwip. foto Reuters

DHAKA – Bangladesh yang mendakwa Myanmar telah berulang kali melanggar ruang udaranya, memberi amaran sebarang perbuatan provokatif boleh menimbulkan kemungkinan kemerosotan hubungan yang telah tegang berikutan krisis pelarian.

DHAKA berkata, dron dan helikopter Myanmar telah melanggar ruang udaranya sebanyak tiga kali – iaitu pada 10, 12 dan 14 September lalu.

Pegawai kedutaan Myanmar di Dhaka telah dipanggil berhubung insiden itu.

Hampir 400,000 orang Muslim Rohingya dari barat Myanmar telah menyeberang Bangladesh sejak 25 Ogos lalu selepas komuniti itu diserang oleh tentera kerajaan Myanmar.

Serangan itu disifatkan sebagai pembersihan etnik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bangladesh menyatakan kebimbangan mendalam terhadap tindakan provokasi tersebut dan menuntut agar Myanmar mengambil langkah segera untuk memastikan pelanggaran kedaulatan seperti itu tidak berlaku lagi.

“Tindakan provokatif ini boleh membawa kepada akibat yang tidak berasas,” kata kerajaan Bangladesh dalam satu kenyataan.

Jurucakap kerajaan Myanmar berkata, beliau tidak mempunyai maklumat tentang kejadian yang dimaklumkan oleh Bangladesh tetapi Myanmar menafikan tuduhan awal.

Jurucakap itu, Zaw Htay berkata, Myanmar akan menyemak sebarang maklumat yang diberikan oleh Bangladesh.

“Pada masa ini, kedua-dua negara menghadapi krisis pelarian, kita perlu bekerjasama dengan pemahaman yang baik,” kata Zaw Htay kepada Reuters.

Bangladesh sejak berabad-abad menghadapi peningkatan pelarian Rohingya berikutan penganiayaan oleh majoriti Buddha Myanmar. – MalaysiaGazette