Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah

KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur hari ini berkata, kesemua tujuh mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat akan mengambil masa sehingga tiga minggu untuk pulih daripada kecederaan dan trauma.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Prof Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, tempoh itu bagi memastikan trauma yang dihadapi mereka beransur hilang setelah melihat kematian rakan-rakan yang lain ketika kebakaran berlaku.

“Mangsa paling tenat adalah berusia 11 tahun yang ditempatkan di wad paediatrik. Dia terjun dan mendapat kecederaan di muka. Malah ada kebocoran pada paru-paru dan patah tulang pinggul.

“Mangsa masih mengalami pendarahan di hati dan memerlukan rawatan yang begitu rapi.

“Mangsa kedua juga terjun dan mukanya melecur, mengalami radang paru-paru dan juga patah tulang peha,” katanya selepas mengiringi Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim melawat mangsa yang terselamat sebentar tadi.

Selain dua mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), terdapat juga orang awam yang cedera dalam percubaan untuk menyelamatkan mangsa yang lain.

“Urat tangan dia putus disebabkan ada cermin yang jatuh ke tangan beliau dan telah dijahit. Tapi beliau mengalami trauma yang teruk juga,” jelas Abu Hassan lagi.

Selain rawatan rapi, HKL juga turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagi memastikan kesemua mangsa yang terselamat diberikan kaunseling dalam memastikan emosi mereka tidak terganggu.

“Mereka yang mengalami kecederaan melecur ini mengalami trauma teruk juga sehingga tidak boleh tidur malam. Ada seorang mangsa yang adiknya meninggal di tempat kejadian, masih trauma.

“Kita akan pastikan mangsa ini pulih dan kembali seperti biasa terutama dari segi trauma,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.