Home Politik Pas Selangor dalam tahap persediaan tertinggi hadapi PRU-14

Pas Selangor dalam tahap persediaan tertinggi hadapi PRU-14

SHAH ALAM – Pas Selangor mendakwa sudah berada pada tahap persediaan tertinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, Pas sedia bertanding sekurang-kurangnya 42 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukan, selain seberapa banyak kerusi Parlimen.

“Pas Selangor telah menetapkan tarikh 16 September 2017 sebagai tarikh di mana seluruh jentera pilihan raya Pas negeri meliputi 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan DUN berada pada tahap persediaan tertinggi bagi menghadapi PRU14 bila-bila masa.

“Dan saya tegaskan sekali lagi, Pas bersedia bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN dan sebanyak mungkin kerusi Parlimen bagi merealisasikan cita-cita perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Sallehen, Pas negeri di pelbagai peringkat sudah bersedia dengan jentera terlatih dan tenaga yang mencukupi bagi menghadapi cabaran baru PRU14 di bawah panji Gagasan Sejahtera (GS).

Katanya, Pas bersama parti gabungannya bertekad untuk membawa kemenangan bermakna sebagaimana diingini rakyat khasnya di Selangor.

“Untuk itu, pada hari bersejarah ini selaku Pesuruhjaya Pas Selangor, saya mengisytiharkan bahawa slogan bagi menghadapi PRU14 bagi Pas negeri ini ialah “Menerajui Kesejahteraan Selangor”.

“Kita beriltizam untuk meneruskan kemakmuran dan kesejahteraan negeri yang telah dicapai bersama melalui kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bagi dua penggal berturut-turut bermula 2008 dan 2013.

“Kita juga akan berusaha dan mengambil inisiatif serta pelbagai langkah dan pendekatan Islam untuk mempertingkatkan lagi pencapaian yang ada,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast