Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar menyifatkan Lim Kit Siang sebagai ahli politik cetek pemikiran apabila menyalahkannya dalam isu kebakaran pusat tahfiz baru-baru ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mahu Kit Siang menasihati anaknya, Lim Guan Eng meletakkan jawatan terlebih dahulu daripada memintanya berbuat demikian.

“Saya baca kenyataan Lim Kit Siang yang cuba mengaitkan apa yang berlaku terhadap Tahfiz di Keramat dengan jawatan saya dan minta saya letak jawatan atau dipindahkan ke kementerian lain.

“Saya lihat kenyatan beliau memperlihatkan ceteknya pemikiran Kit Siang. Sebelum beliau mencabar saya letak jawatan saya fikir lebih elok beliau menerima cabaran dengan menasihatkan anak beliau sendiri Lim Guan Eng yang berdepan dengan kes mahkamah supaya meletakkan jawatan sepertimana desakan daripada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lagi pun, menurut Noh, kakitangan kerajaan yang berdepan kes mahkamah akan ditahan kerja sehingga kes selesai tetapi Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang masih takut untuk meletak jawatan.

“Didalam UMNO sebagai contoh sekiranya seorang pemimpin itu berdepan dengan kes mahkamah semua jawatan beliau akan di gantung sehingga kes selesai.

“Ini masalahnya dengan pembangkang bila gajah di depan mata tak nampak tapi kuman seberang laut nampak. Beliau hanya nampak saya tapi gagal melihat silap anak sendiri,” ujar Noh.

Beliau berkata, sekiranya itu sikap pembangkang, beliau tidak yakin kalau mereka memerintah kita dapat hidup bersatu padu sepertimana yang UMNO lakukan selama 60 tahun semenjak kita mencapai kemerdekaan.

Sebelum itu, Kit Siang yang juga Penasihat DAP menuding jari kepada Noh atas tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Quran Darul Ittifaqiyah di Keramat baru-baru ini.- MalaysiaGazette