Hamizura Osman

KUALA LUMPUR – Adik perempuan Datuk Hamidah Osman, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengumumkan keputusan keluar parti itu semalam menegaskan bakal mengikut jejak langkah kakaknya.

Mendedahkan perkara itu di laman Facebook, Hamizura Osman memberikan respons “ya” terhadap soalan sama ada beliau akan bertindak keluar parti kepada rakan media sosialnya.

“Ikut sekali,” kata Hamizura lapor sebuah laman portal.

Hamizura berkata beliau tidak akan menyertai semula UMNO atau PKR, yang merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) bersama PPBM.

“Insya-Allah, saya tidak akan membuat U-turn,” ujarnya.

Pada 13 September, Hamizura mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan berbaur perkauman menerusi Facebook.

Anggota biasa PPBM itu berkata: “Dalam usaha kita nak turunkan Najib. Dalam masa yang sama, jangan bagi Cina pijak kita. Tak perlulah memuji sang Cina dalam kalangan kita”.

Beliau memohon maaf pada hari yang sama selepas kenyataannya menarik komen dan kecaman daripada beberapa pemimpin parti dan anggota gabungan PH.

Sekiranya Hamizura meninggalkan parti itu, beliau akan menjadi ahli ketiga berbuat demikian dalam masa yang singkat selepas Hamidah dan bekas ketua majlis tertinggi, Anina Saadudin.

Semalam, Anina mengumumkan beliau keluar parti yang telah membantu menubuhkannya tahun lalu sambil mendakwa beliau telah dianiaya oleh PPBM.

Beliau antara lain mendakwa telah dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp tanpa sebarang pemberitahuan dan tidak dijemput ke majlis sambutan ulang tahun pertama PPBM 9 September lalu. – MalaysiaGazette