Hamidah Osman

KUALA LUMPUR – Selepas pengasas utama PPBM, Anina Saadudin melepaskan jawatannya sebagai Ketua Serikandi dan keahliannya daripada parti itu petang semalam, giliran seorang lagi pengasas PPBM mengambil tindakan sama.

Pengasas PPBM yang juga Naib Presiden dan Ketua Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman mengikuti jejak Anina yang meninggalkan parti itu.

Hamidah membuat pengumuman tersebut melalui akaun Facebook miliknya malam ini dengan menunjukkan surat perletakan jawatan yang ditujukan kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hanya mampu setakat ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya melepaskan jawatan saya sebagai Naib Presiden dan Ketua Bahagian Gopeng serta keahlian PPBM berkuat kuasa serta merta.

“Keputusan ini saya buat dengan ahti yang berat dan saya juga ingin memohon ribuan maaf kerana terpaksa melepaskan jawatan. Saya doakan agar PPBM terus maju jaya.

“Betul,” jawabnya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette berkenaan status perletakan jawatan dan keahlian tersebut.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, Hamidah belum mendedahkan punca sebenar keputusan tersebut diambil.

Terdahulu, dua pengasas utama PPBM, Kamarul Zaman Habibur Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPBM meninggalkan parti itu diikuti Aninah Saadudin, juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Serikandi PPBM.

Kedua pengasas PPBM itu mengambil keputusan tersebut berikutan kekecewaan mereka terhadap kegagalan Muhyiddin dan Mukhriz memainkan peranan sebagai pemimpin utama dalam parti. -MalaysiaGazette