PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa keputusan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) semata-mata untuk menerima tekanan kepada mereka.
Dr. Mahathir yang memperkenalkan diri sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di hadapan panel lima ahli RCI berkata, tujuan mengheret beliau dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya untuk menutup mulut mereka berdua.
“Saya juga mengatakan bahawa tujuan utama kerajaan sekarang ini untuk memajukan ke bawah Duli Yang DiPertuan Agong untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ini adalah semata-mata untuk memberi tekanan kepada saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengkritik Datuk Seri Najib Razak berhubung kritikan kami berkaitan skandal 1MDB serta pemasalahan lain yang dihadapi oleh rakyat dan negara,” katanya.
Dr. Mahathir mendakwa, langkah menubuhkan RCI juga adalah berdasarkan fakta-fakta kronologi yang telah menjadi asas dalam permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk RCI menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut berkata Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan dan Tan Sri Saw Choo Boon tidak sepatutnya berada dalam RCI.
“Pengerusi (Tan Sri Sidek Hassan) dan Tan Sri Saw sudahpun berat sebelah dan tidak neutral dalam siasatan ini kerana sebelumnya telah terlibat dalam Pasukan Siasatan Khas.
“Oleh itu, saya telah failkan permohonan pembatalan kedua-dua ahli panel yang kini berada dalam Mahkamah Rayuan,” katanya. -MalaysiaGazette.
Comments are closed.