KUALA LUMPUR – Pembangkang masih tetap mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, segala apa yang dilakukan oleh Najib dijadikan isu oleh pemimpin pembangkang.
“Sekiranya Najib tidak bertemu pemimpin asing seperti Presiden Amerika Syarikat, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia adalah kerana Najib takut untuk melakukan perjalanan ke negara lain sekiranya beliau ditangkap.
“Kemudian, ketika Najib pergi ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump, mereka mengatakan perdana menteri membayar pelobi untuk mengaturkan pertemuan itu,” kata Salleh menerusi catatan terbaharu dalam blognya (sskeruak.blogspot.my) hari ini.
Beliau berkata, apa sahaja tindakan dilakukan oleh Najib tidak dapat memuaskan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan kerana mereka hanya mahu semata-mata mengkritik dan bukan untuk kebaikan negara.
“Mereka ingin memberi gambaran bahawa tiada apa yang dilakukan oleh Najib adalah betul dan hanya Dr Mahathir dan Pakatan Harapan sahaja yang betul.
“Masalahnya ialah Dr Mahathir menggunakan standard dan tindakan beliau untuk menilai Najib.
“Hanya kerana Dr Mahathir membayar jutaan kepada pelobi-pelobi untuk pertemuannya dengan Presiden Bush dan ini tidak bermakna Najib mesti melakukan perkara yang sama,” katanya.
Salleh berkata: “Dr Mahathir tidak mungkin dapat bertemu Bush melainkan jika beliau membayar untuk pertemuan itu…oleh itu pembangkang fikir Najib juga tidak dapat bertemu dengan Trump melainkan beliau membayar untuk mesyuarat itu.”
“Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa Dr Mahathir perlu bayar untuk bertemu Bush manakala Najib tidak perlu berbuat demikian untuk bertemu dengan Trump. Itulah yang paling menjejaskan Pakatan Harapan,” katanya.
Pada 12 Sept lepas, Najib mengadakan pertemuan dengan Trump di Rumah Putih di Washington DC. – MalaysiaGazette