Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mengikuti prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka menjadi saksi ke 24 hari ini bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dipanggil menjadi saksi hari ini bagi melicinkan siasatan mengenai kerugian BNM.

Dr. Mahathir dijangka memberikan keterangan jam 11 pagi nanti.

Selain Mahathir, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin turut menjadi saksi hari ini.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mengikuti prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2017.

Daim menjawat Menteri Kewangan pada 1984 hingga 1991.

Prosiding RCI hari ini bermula tepat jam 9 pagi tadi dengan kenyataan yang diberikan oleh saksi ke-22, Datuk Othman Jusoh.

Othman yang merupakan Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada ketika itu berkata, beliau tidak terlibat dalam memantau operasi BNM.

Sebaliknya hanya menyediakan penyata kewangan tahunan atau akta melibatkan BNM.

Bank pusat itu dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM30 bilion dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Daim merupakan menteri kewangan ketika itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Menteri Kewangan pada 1991 sehigga 1997.

Antara saksi yang telah dipanggil adalah bekas peguam negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid; bekas pembantu khas kepada gabenor BNM, Liew Siew Kuan; bekas auditor di pejabat Ketua Audit Negara, P Kanason Pothinker; bekas penolong gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Manaf; bekas penolong Gabenor, Datuk Abdul Murad Khalid; dan bekas Timbalan Gabenor BNM Tan Sri Lin See-Yan.

Dalam prosiding itu, RCI yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu turut memanggil dua bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan dan Tan Sri Ahmad Mohd Don selaku saksi ke 20. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast