Sebahagian pemandu teksi Gelang Patah yang mahu keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia semasa ditemui di hentian teksi Gelang Patah di Taman Nusa Perintis.

GELANG PATAH – Seramai 15 pemandu teksi di sini hari ini menyatakan hasrat mahu keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mereka mendakwa, tindakan itu dibuat kerana terpedaya dengan janji diberikan wakil parti yang datang menemui mereka pada awal tahun ini.

Wakil pemandu teksi itu, Suhaimi Mohamed Said, 44, mendakwa, wakil parti PPBM telah datang menemui mereka dengan janji membela nasib dan kebajikan mereka.

Dia turut mendakwa, wakil PPBM ada menawarkan RM500 kepada setiap teksi yang berminat membawa pengundi semasa pilihan raya akan datang tetapi perlu isi borang menjadi ahli parti.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan susulan dan perbincangan atau bantuan diberikan kepada mereka daripada parti itu sampai sekarang, biarpun sudah mengisi borang.

“Sebab itu kami rasa terpedaya dan mahu keluar parti tersebut,” katanya kepada semasa ditemui di hentian teksi Taman Nusa Perintis di sini hari ini.

Suhaimi mendakwa, semasa tawaran dibuat wakil parti mereka tidak diberitahu bahawa borang yang perlu diisi adalah merupakan borang keahlian PPBM.

Justeru, pemandu teksi terbabit meminta pihak PPBM membatalkan keahlian mereka dan jika keahlian belum didaftarkan, mereka membatalkan menjadi ahli PPBM. – MalaysiaGazette