DETROIT- Honda Motor Co. Ltd. telah melabur sebanyak AS$267 juta (RM1.2 bilion) dan akan menambah 300 pekerjaan baharu untuk menyokong peningkatan pengeluaran sejajar dengan rombakan model sedan Accord 2018 di kilang pembuat kenderaan Jepun itu di Marysville, Ohio.

Honda mendedahkan generasi terbaharu Accord pada Julai, salah satu daripada empat sedan bersaiz sederhana yang dikeluarkan syarikat pembuat kereta Asia untuk memenangi penguasaan pasaran kerana pesaingnya telah menukar fokus kepada SUV, crossover dan trak pikap.

Pelaburan sebanyak AS$220 juta di Ohio untuk kilang di Marysville termasuk sebuah jabatan pemateri dengan 342 robot pemateri. Pembuat kenderaan itu juga melabur sebanyak AS$47 juta di kilang enjin di Anna, Ohio yang menyediakan enjin caj turbo bagi Accord.

Kilang Marysville turut membuat sedan mewah bersaiz sederhana, Acura TLX dan sebuah sedan kompak mewah, Acura ILX.

Dengan pelaburan baharu tersebut, kilang berkenaan mempunyai kapasiti 440,000 kenderaan setahun dan boleh menambah jumlah Accord jika perlu, demikian menurut Ketua Pengilangan Honda, Steve Rodriguez kepada pemberita semasa sidang media pada Isnin.

Naib Presiden Jualan Honda, Ray Mikiciuk berkata, syarikat tidak menetapkan unjuran jualan untuk Accord tetapi menurutnya, beliau tidak meramalkan penjualan Accord pada 2018 adalah rendah kerana ia adalah sebuah produk baharu yang bagus.- MalaysiaGazette