Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir hari ini setelah memanggil saksi ke 25, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin.

Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan pada akhir prosiding hari ini memberi masa sehingga Khamis untuk menyerahkan hujahan bertulis mengenai RCI kepada peguam dan pegawai pengendali.

Ia diputuskan Sidek apabila meneliti 42 dokumen dan 25 keterangan saksi setelah sembilan hari bersidang.

Malah permintaan peguam-peguam untuk memanggil semula bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid ke kandang saksi juga tidak dilayan.

Perkara itu jelas Sidek kerana RCI mendapati permintaan itu tiada keperluan.

“Isu dua memanggil kembali saksi ketiga (Datuk) Murad bagi pengesahan lanjut.

“Suruhanjaya berpendapat perkara yang perlu diambil untuk suruhanjaya buat rumusan telah pun dibuat,” kata Sidek.

Murad selaku saksi ketiga sebelum ini telah memberi keterangan dalam siasatan kerugian BNM sebanyak RM31.516 bilion pada 1991 hingga 1994.

Malah permintaan peguam Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla untuk membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Mohd Puad Zarkashi dianggap tidak perlu.

Hanif berkata, perkara itu akan menjejaskan bekas perdana menteri itu.

Puad dalam kenyataannya menurut Haniff boleh dianggap mencabar dan menghina RCI.

Puad telah menuduh penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop berbohong kepada panel dan melindungi Dr Mahathir.

Sidek dalam pada itu juga berkata, tidak akan menarik semula kenyataan awalnya pada penghujung hari pertama siasatan RCI pada 21 Ogos apabila beliau berkata kesimpulan dapat diambil yang BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.

“RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka muncul.

“Sama ada ia berbeza daripada kesimpulan pertama, isu ia dikeluarkan tidak timbul. Kami akan membuat kesimpulan muktamad apabila kami menyerahkan laporan dan cadangan kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V. -MalaysiaGazette.