NEW YORK – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menjangkakan tiada pertolongan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung kebanjiran etnik Rohingya ke negaranya dari Myanmar.

Menurut Sheikh Hasina, beliau telah bercakap dengan Trump berhubung isu itu pada Isnin semasa Presiden Amerika itu meninggalkan majlis di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya menahan beliau selama beberapa minit dan Trump bertanya keadaan Bangladesh.

“Saya katakan negara kami bagus tetapi satu-satunya masalah yang kami ada adalah pelarian dari Myanmar,” kata Sheikh Hasina dalam satu temubual dengan Reuters.

“Beliau tidak membuat sebarang komen mengenai pelarian,” tambah Sheik Hasina.

Sheikh Hasina yang dijadualkan menyampaikan ucapan semasa perjumpaan tahunan ketua-ketua negara di Perhimpunan Agung PBB, Khamis ini berkata, pendirian Trump terhadap pelarian amat jelas dan tidak bermanfaat untuk meminta pertolongan beliau mengenai pelarian Islam Rohingya.

“Amerika telah mengisytiharkan mereka tidak membenarkan sebarang pelarian.

“Jadi apa yang saya boleh jangkakan daripada mereka terutamanya presiden mereka?

“Beliau telah menyatakan pendiriannya dan mengapa saya perlu bertanya?

“Bangladesh bukanlah sebuah negara yang kaya dan jika kita boleh memberi makan kepada 160 juta orang, atau lagi 500 atau 700,000 orang lagi, kita akan lakukannya,” kata beliau.

Menurut seorang pegawai kanan White House, beliau tidak perasan mengenai perbualan tersebut namun berkata, Trump sangat berminat terhadap subjek tersebut, beliau pastinya akan memberikan perhatian sekiranya benar isu tersebut dikemukakan. – Reuters