Home Nasional Semua institusi pendidikan perlu dikawal KPM

Semua institusi pendidikan perlu dikawal KPM

KUALA LUMPUR – Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah adalah satu peringatan kepada kerajaan bahawa semua sekolah, termasuk sekolah berkorikulum agama harus dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, jabatan-jabatan agama atau badan-badan diiktiraf.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, kawal selia itu perlu bagi memastikan pematuhan kepada prosedur penubuhan sekolah, kod keselamatan kebakaran, nyawa, dan bangunan, serta pensijilan premis sekolah dan lain-lain.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, sekolah-sekolah perlu menjalani penilaian risiko bagi mengenal pasti, antara lain, langkah pencegahan kebakaran diperlukan untuk melindungi keselamatan penghuni sekiranya berlaku kebakaran, termasuk cara menyelamatkan diri semasa kebakaran tidak diketahui.

Suhakam menambah, kerajaan perlu menyediakan mekanisme dan mengawal selia aspek keselamatan kesemua institusi pendidikan.

“Suhakam tidak dapat menerima keadaan di mana sekolah tersebut dibenarkan beroperasi tanpa mematuhi piawaian serta peraturan keselamatan dan kesihatan termasuk pemeriksaan
oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kod kebakaran dan keselamatan nyawa seharusnya disediakan untuk mengelakkan kemalangan serta kecederaan bagi tujuan menyelamatkan nyawa, justeru individu dan agensi yang terlibat harus dipertanggungjawabkan kerana kegagalan terhadap pematuhan keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Suhakam juga tegas beliau menekankan sesi pembelajaran, persekitaran pembelajaran untuk kanak-kanak harus selamat dari segi keadaan persekitaran serta psikologi dan kanak-kanak serta guru dan kakitangan sokongan.

Mereka mempunyai hak untuk selamat dari sebarang kemalangan dan ancaman bahaya, tambahnya. – MalaysiaGazette