Home Ekonomi Indeks harga pengguna Ogos 3.7%

Indeks harga pengguna Ogos 3.7%

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Ogos tahun ini meningkat lebih tinggi pada kadar 3.7 peratus kepada 119.9 berbanding 115.6 pada bulan yang sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks pengangkutan (+11.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus), restoran dan hotel (+2.8 peratus), kesihatan (+2.7 peratus), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+2.7 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.4 peratus

Indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 11.7 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Ogos 2017, setelah naik 7.7 peratus pada Julai 2017, menurut Jabatan Perangkaan.

Harga purata 1 liter petrol RON95 ialah RM2.12 pada Ogos 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.75 pada Ogos 2016. Bagi petrol RON97, harga purata ialah RM2.39 pada Ogos 2017 berbanding RM2.10 pada Ogos 2016.

Kelas perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus kepada wajaran IHP.

Indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus pada Ogos 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan minyak dan lemak (+39.2 peratus), ikan dan makanan laut (+8.1 peratus), buah-buahan (+3.2 peratus) dan sayur-sayuran (+2.9 peratus). Bagi indeks makanan di luar rumah, ia terus meningkat pada Ogos 2017, dengan kenaikan 4.8 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan Ogos 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+48.9 peratus), ikan kembong (+13.6 peratus), sotong (+8.2 peratus), ikan cencaru (+7.7 peratus), ikan tenggiri (+6.4 peratus), ddang (+5.6 peratus), bayam (+4.8 peratus), kobis bulat (+4.7 peratus) dan sawi (+2.6 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti telur ayam (-5.9 peratus), lobak merah (-2.4 peratus) dan bawang besar (-0.5 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Enam negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional bagi Ogos 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016. Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 5.0 peratus di Johor, 4.9 peratus di Melaka, 4.8 peratus di Pulau Pinang, 4.8 peratus di Sabah dan Labuan, 4.8 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 4.5 peratus di Kedah dan Perlis.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 0.4 peratus pada Ogos 2017, setelah naik 0.2 peratus pada Julai 2017. Sementara itu, indeks kumpulan bukan makanan naik 1.2 peratus pada Ogos 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi Ogos 2017 naik 0.9 peratus berbanding Julai 2017.

Inflasi teras naik 2.4 peratus bagi Ogos 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus), pengangkutan (+2.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.9 peratus), restoran dan hotel (+2.8 peratus), kesihatan (+2.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+2.7 peratus). – MalaysiaGazette