Home Nasional Peranti semak kawalan imigresen di KLIA

Peranti semak kawalan imigresen di KLIA

Mustafar Ali

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan memperkenalkan peranti yang akan membolehkan orang ramai menyemak status kawalan imigresen masing-masing di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, bulan depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, peranti itu boleh digunakan penumpang secara sukarela sebelum turun ke kaunter imigresen di KLIA.

Sebelum ini, rakyat Malaysia boleh menyemak secara dalam talian status kawalan imigresen mereka di portal rasmi Jabatan Imigresen iaitu http://sspi2.imi.gov.my sebelum mereka berangkat ke luar negara.

“Peranti itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen yang disebabkan pelbagai faktor seperti sekatan akibat kegagalan segelintir penumpang membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Jika penumpang menghadapi masalah dengan agensi seperti LHDN, mereka boleh menguruskan isu itu dengan pegawai lembaga itu sebelum berlepas ke luar negara,” katanya sebelum program Ruang Bicara siaran BERNAMA News Channel di sini, malam ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan membuka kaunter pemudah cara bagi menyelesaikan isu sekatan ke luar negara di lapangan terbang kendaliannya.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali dilaporkan berkata, usaha itu membabitkan kerjasama Jabatan Imigresen, LHDN dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta agensi berkaitan.

Menyentuh hal lain, Mustafar berkata sistem pagar automatik di KLIA akan melalui proses penambahbaikan dengan teknik pengenalan retina yang sedang dalam perancangan Jabatan Imigresen. – MalaysiaGazette