Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dan beramah mesra bersama pemain-pemain Malaysia selepas menyaksikan acara bola keranjang kerusi roda menentang Thailand pada Sukan Para ASEAN ke 9, turut hadir Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kesungguhan atlet Para Asean KL2017 mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana walaupun secara fizikalnya tidak setanding dengan atlet biasa mereka masih bersemangat unuk menyumbang pingat kepada negara.

Najib hadir hari ini menyaksikan perlawanan akhir acara bola keranjang berkerusi roda tiga sebelah bagi memberikan sokongan kepada atlet Malaysia yang menentang pasukan Thailand.

Walaupun tewas 5 -12 kepada Thailand, namun Najib memuji semangat yang ditonjolkan oleh Malaysia yang muncul naiib johan dalam acara tersebut.

“Saya ucapkan tahniah kepada seluruh pasukan basketball Para Asean meskipun kita jadi naib johan tetapi mereka telah cuba sedaya upaya,” katanya selepas berakhir perlawanan.

Najib turun ke gelanggang bertemu dengan atlet Malaysia dan mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata perangsang selepas perlawanan.

Beliau menyeru supaya rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada atlet Para Asean Malaysia sehingga hari terakhir kejohanan pada Sabtu ini.

“Dan ini merupakan satu ransangan dan kebanggaan kepada semua kontinjen kita dalam sukan lain.

“Dan saya harap rakyat kita akan terus beri sokongan padu kepada pasukan kita sehingga tamatnya sukan Para Asean ini,” ujarnya lagi.

 

Jurulatih Malaysia, Abbas Aghakouchaki mengakui anak buahnya beberapa kali terlepas peluang apabila beberapa percubaan tersasar ke jaring dan kurang fokus semasa perlawanan berbanding pasukan Thailand.

“Mereka banyak kali tersasar daripada jaring dan kurang fokus berbanding pasukan Thailand,” ujarnya. – MalaysiaGazette