Menteri Kesahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar hadir membuat lawatan kerja di Taman Segar Perdana Cheras, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 SEPTEMBER 2017

CHERAS – Tiga bekas menteri besar di Selangor akan membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

Mereka adalah Tan Sri Abu Hassan Omar, Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Menurutnya, gandingan ketiga-tiga bekas menteri besar itu untuk bekerjasama dengannya diyakini mampu mengembalikan Selangor ke tangan BN.

“Mereka tidak mengimpikan jawatan sebaliknya mereka ingin lihat apa yang mereka laksanakan dulu ada kesenimbungannya.

“Kerajaan negeri Selangor apa dia buat. Apa yang ada ini semua adalah waktu BN memerintah,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di sini.

Dalam lawatan kerjanya hari ini, Noh meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi kegunaan membaiki prasarana untuk kebajikan rakyat di Selangor.

Mengulas mengenai perkara itu Noh berkata, kerajaan Persekutuan menerusi kementeriannya terpaksa berbelanja lebih untuk negeri Selangor ekoran kerajaan negeri itu tidak menunaikan janji kepada rakyat sebagaimana yang diuar-uarkan semasa pilihan raya yang lalu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan menolak fahaman politik masyarakat di Selangor dan turun padang untuk membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Tidak kira sama ada ia berkaitan dengan masalah penempatan penduduk sebaliknya, perkara-perkara lain seperti jalan rosak dan sebagainya turut diambil peduli, katanya

Dalam perkembangan sama, Noh turut mempersoalkan wang yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marriss) berjumlah hampir RM600 juta untuk menyelengara jalan-jalan di negeri itu.

“Ke mana perginya duit RM600 juta ni. Sampai jalan dalam kawasan di DUN Kajang yang ADUNnya presiden PKR minta RM200,000 tapi dia tak peduli.

“Saya tak tahu sama ada ADUN yang tak turun padang atau menteri besar lalu pun tiada atau presiden dan timbalan presiden PKR ada masalah politik dalaman akhirnya yang menderita adalah rakyat,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai desas-desus lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang didakwa akab lompat parti beliau secara berseloroh memberitahu: “Itu kena tanya dengan Azmin”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast