Hasmiza Othman
KUALA LUMPUR – Pengasas syarikat produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman berhasrat untuk membawa 18 pelajar yang terlibat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Jalan Keramat Ujung di sini, untuk menunaikan umrah dalam masa terdekat.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 46, berkata keputusan itu dibuat selepas menerima cadangan netizen apabila ditanya langkah yang perlu beliau ambil bagi menghilangkan kemurungan semua pelajar terbabit.

“Saya ingin mengambil mereka sebagai anak angkat saya dan membawa mereka semua ke rumah saya di Ipoh, Perak selama sebulan untuk menghilangkan trauma dan menenangkan mereka selepas terlibat dalam kebakaran.

“Hanya mereka yang pernah terlibat dalam kejadian ini yang memahami dan saya sendiri pernah kehilangan anak saya yang terkorban dalam kebakaran dulu,” katanya pada pemberita selepas melawat pusat tahfiz itu di sini malam ini bersempena sambutan Awal Muharram 1439H hari ini.

Beliau berkata lapan kakitangan pusat tahfiz itu akan turut serta mengerjakan umrah bersama mereka.

Selain pakej umrah itu, beliau juga bercadang untuk membawa semua mangsa untuk bercuti bagi merawat trauma kanak-kanak terbabit.

Khamis lepas, 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap di asrama dalam tragedi kebakaran 5.15 pagi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast