Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi (kanan) menunjukkan gambar aktiviti penggondolan bukit yang didakwa antara punca berlakunya banjir kilat di Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Parti politik, Penang Front Party (PFP) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang ekoran bencana banjir kilat yang semakin buruk dan serius di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Patrick Ooi berkata, tindakan itu berikutan banjir kilat yang menyusahkan penduduk negeri ini dilihat berpunca daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri selain kelulusan pembangunan di kawasan lereng bukit.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat daripada penduduk yang menjadi mangsa banjir selain meneliti laporan polis yang dibuat pelbagai pihak berhubung isu tersebut.

“Semua bukti-bukti ini akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut dan sekiranya tiada maklum balas, kita akan meneruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hujan lebat selama beberapa jam pada 15 September lalu menyebabkan lebih 100 kawasan di Pulau Pinang ditenggelami banjir dan disifatkan terburuk  dalam tempoh 10 tahun.

Selain melumpuhkan negeri ini khususnya di bahagian Georgetown selepas ratusan penduduk terpaksa dipindahkan, bencana itu turut menyebabkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang yang menghempap beberapa buah kenderaan.

Dalam pada itu, Patrick turut mempersoal kegagalan Kerajaan DAP Pulau Pinang bertindak segera menangani banjir termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bencana seperti yang termaktub dalam Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Menurut beliau,  jawatankuasa itu sepatutnya berperanan memastikan keselamatan penduduk berdasarkan laporan ramalan cuaca dan mengarahkan penduduk di kawasan berisiko banjir berpindah segera bagi mengelak kemalangan.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab mengumpul bekalan makanan untuk mangsa selain mencari dana bagi kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih rumah penduduk yang terjejas.

“Tetapi apa yang dapat dilihat hari ini adalah kerja-kerja itu dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, bukannya oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ini musim banjir ni PFP bolih cari duit banyak lah nampaknya . teruskan lah saman menyaman ambil kesempatan musim sekali setahun . tambah dana tak salah . kerajaan pun tambah dana juga dalam musim2 tertentu

Comments are closed.