Gunasundari, Ketua Puteri MIC

PUTRAJAYA – Puteri MIC melancarkan ‘Dr S.Subra Club’ (DSSC) yang bertujuan menggalakkan, memperkasakan dan meningkatkan kehidupan komuniti India di negara ini.

Ketua Puteri MIC R.Gunasundari berkata penubuhan kelab itu bertujuan mewujudkan peluang bagi meningkatkan kehidupan 40 peratus daripada 2.6 juta etnik India di Malaysia, dan mengenal pasti lima skop bagi komuniti berkenaan iaitu sukan, kesihatan, kebajikan, budaya, dan pemerkasaan belia.

“Kelab ini akan dikendalikan sendiri oleh anggota jawatankuasa kami, termasuk lima anggota yang saya lantik. Sebagai permulaan, kami akan mengadakan program kecil-kecilan di seluruh negara agar kami boleh mendekati komuniti ini secara bersemuka untuk mengetahui keperluan mereka.

“Kami akan turut mengambil sukarelawanan bagi memastikan sentiasa ada sebuah pasukan untuk turun padang pada setiap program,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

DSSC dilancarkan oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam pada Konvensyen Puteri MIC kebangsaan kali ke-13 pada Ahad lepas.

Ditanya tentang peruntukan yang disediakan, Gunasundari yang enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berkata cawangan dan sayap parti itu boleh memohon antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi pembiayaan menerusi DSSC untuk mengadakan program mulai November ini.

Beliau berkata kelab itu akan turut membantu kerajaan dalam mempertingkatkan kehidupan komuniti India yang sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak beliau memegang jawatan pada 2009. BERNAMA