Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap bertegas melarang pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ walaupun pihak penganjur menjamin aspek keselamtannya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata DBKL tetap tidak akan mempertimbang semula penolakan permohanan penganjuran pesta itu sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga akan berlaku penjualan arak di tempat terbuka.

“Mereka boleh mengadakan pesta itu di hotel, pub atau restoran. Saya tidak kisah. Tempat terbuka tidak akan dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Minggu Perpaduan dan My Rukun Negara 2017 Peringkat Kuala Lumpur serta #V4KL@Unity) di sini hari ini.

Beliau berkata aspek keselamatan perlu diletak di bawah kredibiliti dan tanggungjawab pihak polis yang jelas turut tidak menyokong pesta tersebut.

“Dia (penganjur) kata cukup selamat, tidak akan jadi apa-apa, itu dia kata, tapi keselamatan rakyat tanggungjawab kerajaan,” tambahnya.

Pihak penganjur telah meminta DBKL untuk mempertimbang semula keputusan mereka menolak program itu kerana pihak penganjur mendakwa telah mengambil langkah keselamatan kepada para pengunjung.

Pesta itu dicadang diadakan selama dua hari mulai 6 Okt di Publika Shopping Gallery di sini.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast