Situasi banjir yang berlaku di Perlis ketika ini

KUALA LUMPUR – Pelajar yang terjejas banjir dibenarkan untuk ke sekolah esok dengan berpakaian biasa, kata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Dalam satu kenyataan hari ini jabatan berkenaan memberitahu, pelajar juga tidak perlu bimbang sekiranya peralatan sekolah dan buku rosak susulan kejadian banjir di negeri itu.

Sebaliknya, hanya perlu hadir ke sekolah sebagaimana biasa esok, kata kenyataan.

JPN turut menasihatkan ibu bapa di kawasan terbabit banjir supaya memastikan anak mereka hadir ke sekolah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak agar tidak bermain di tebing lima sungai kerana airnya deras.

Sungai berkenaan ialah Sungai Korok, Sungai Abi, Sungai Santan, terusan Lencongan Utara dan Sungai Perlis.

“Ibu bapa dinasihatkan agar mengawasi anak mereka supaya tidak bermain di kawasan tebing sungai terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya JPS seperti dilapor sebuah laman portal.

JPS memaklumkan hujan lebat di negeri ini sekarang menyebabkan paras air di Empangan Timah Tasoh di Beseri, dekat sini meningkat kepada 29.91 meter malam tadi, iaitu pada paras bahaya.

Berikutan itu, JPS terpaksa melepaskan air dari empangan terbabit untuk menurunkan air ke paras normal, menyebabkan aliran air deras masuk ke kelima-lima sungai berkenaan. – MalaysiaGazette