Gambar hiasan

SINGAPURA – Bank-Bank Singapura menutup akaun beberapa syarikat pakar dalam menyediakan perkhidmatan cryptocurrency dan pembayaran, demikian menurut dua badan tempatan yang mewakili firma-firma teknologi kewangan.

Menyedari firma-firma cryptocurrency mempunyai masalah yang serupa dengan bank-bank di negara lain, ketua Persatuan Industri Cryptocurrency dan Blockchain, Singapura (Access) meminta kerajaan untuk campur tangan.

“Daripada analisis kami, perkara ini sudah menjadi kelaziman dalam kalangan hab-hab FinTech utama.

“Jika ia berterusan, kami menggesa Singapura untuk mengambil peranan utama dan menunjukkan penyelesaian efektif dalam kalangan semua pihak,” kata Pengerusi Access, Anson Zeall.

Katanya, persatuannya itu telah mendengar 10 daripada syarikat-syarikat tersebut menghadapi masalah dengan bank-bank mereka di Singapura.

Bank-bank tersebut bagaimanapun tidak memberi alasan berhubung tindakan mereka itu, kata Zeall.

Rungutan-rungutan itu menunjukkan terdapat kesukaran yang dihadapi oleh firma-firma cryptocurrency ketika ini apabila sektor berkenaan menghadapi pengawasan ketat di seluruh dunia.

China sebelum ini pernah berkata akan menggantung perdagangan cryptocurrency menjelang akhir September.

Ketua Pegawai Eksekutif JP Morgan Chase & Co., Jamie Dimon baru-baru ini menggambarkan cryptocurrency bitcoin sebagai palsu dan akan memecat kakitangan yang berdagang menggunakan bitcoin kerana bertindak ‘bodoh’.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) berkata dalam satu kenyataan, mereka tidak akan masuk campur dalam keputusan komersial yang diambil oleh pihak bank termasuk ‘membina atau menghentikan hubungan perniagaan’.

Bank-bank diharapkan dapat memiliki prosedur dan kawalan yang bersesuaian termasuk mengurus tadbir urusniaga dan hubungan dengan pelanggan serta mematuhi peraturan yang disediakan oleh MAS dalam membenteras penggubahan wang haram dan membiaya aktiviti keganasan. – MalaysiaGazette