Home Nasional Mustafa Akyol diserah kepada PDRM

Mustafa Akyol diserah kepada PDRM

Mustafa Akyol

PUTRAJAYA – Penulis warga Turki, Mustafa Akyol yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, telah diserahkan kepada Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ketua pasukan bertugas JIM KLIA menerima permohonan ‘kesan dan tahan’ daripada pihak TCO berkaitan lelaki tersebut pada kira-kira  6 petang semalam.

Katanya, edaran makluman penahanan dihebahkan kepada semua kaunter pemerikaan imigresen dan lelaki itu ditahan di kaunter 17 balai berlepas KLIA pada kira-kira 9 malam.

 “Penyelia bertugas telah menghubungi pihak TCO dan subjek telah diserahkan kepada pihak TCO pada  9.30 malam,” kata Mustafar dalam kenyataan, di sini hari ini.

Portal-portal berita melaporkan Akyol yang juga seorang wartawan, dijadualkan berlepas ke Istanbul, Turki menerusi penerbangan 11.35 malam sebelum  beliau ditahan oleh JIM.

Akyol dilaporkan berada di negara ini bagi menyampaikan syarahan bertajuk ‘The Islamic Jesus: The Commonalities Between Judaism, Christianity and Islam’ di Nottingham University Malaysia pada 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun, syarahan yang dianjurkan Islamic Renaissance Front itu dilapor dibatalkan selepas Akyol dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada Ahad. – MalaysiaGazette