BANGKOK – Seorang pegawai polis Malaysia akan memberi keterangan di Mahkamah Jenayah Bangkok tahun depan dalam perbicaraan melibatkan warga Laos Xaysana Keopimpha yang digelar ‘Raja Dadah ASEAN’ oleh media tempatan, dan dua rakan subahatnya.

Pegawai itu dijadualkan memberi testimoni dalam perbicaraan yang ditetapkan pada 31 Julai, 1 hingga 3 Ogos, dan 7 hingga 10 Ogos tahun depan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

“Pegawai polis Malaysia itu akan memberi keterangan sebagai saksi plaintif memandangkan seorang daripada suspek yang ditahan di Malaysia didakwa mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lagi pengedar dadah warga Laos yang disyaki mempunyai kaitan dengan Xaysana,” demikian menurut kenyataan itu tanpa menamakan pegawai polis terbabit.

Suspek yang dikenali dalam kalangan pasukan penguat kuasa dadah Thai sebagai ‘Sinudeng Ma’ atau ‘Kamaruddin’ ditahan oleh polis Malaysia di Kelantan pada Februari lalu kerana disyaki menyeludup masuk sejumlah besar pil kuda (metafetamina) ke dalam negara itu.

Penahanannya diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datruk Mohd Mokhtar Mohd Shariff menerusi satu kenyataan.

Menurut polis Thai, suspek turut memiliki dwikerakyatan — Thailand-Malaysia.

Sementara itu, Ketua Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand Lt. Jen. Sommai Kongvisaisuk memberitahu Bernama amat jarang bagi sesebuah mahkamah Thailand memanggil saksi dari negara asing untuk memberi keterangan dalam satu-satu perbicaraan.

Bagaimanapun ini menunjukkan kerjasama yang baik antara pihak berkuasa Thailand dan Malaysia dalam menangani penyeludupan dadah.

“Ini menunjukkan kedua-dua negara mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik,” katanya.

Xaysana ditangkap oleh sekumpulan pasukan polis Thai di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada 20 Jan lalu, selepas lebih lima tahun siasatan dijalankan terhadap rangkaian penyeludupan dadah Asia Tenggara yang disyaki didalangi oleh lelaki ini.

Dia dituduh secara rasmi di Mahkamah Jenayah Bangkok pada 18 April atas dakwaan menyeludup 1.2 juta biji pil metafetamina ke Thailand dari Laos menerusi pusat pemeriksaan Nong Khai di timur laut Thailand pada 20 Sept tahun lalu.

Menurut pegawai penyiasat, dadah itu sepatutnya dibawa ke selatan Thai sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

Warga Laos yang menampilkan dirinya sebagai seorang ahli perniagaan berjaya dan menjalani kehidupan mewah dengan kereta berkuasa tinggi serta rumah agam, menafikan semua dakwaan terhadapnya dan berikrar untuk membersihkan namanya di mahkamah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast