BALI – Lebih daripada 57,000 orang telah meninggalkan kawasan sekitar Gunung Agung di kawasan pesat pelancong, Bali berikutan kebimbangan terhadap letupan gunung berapi.

Peningkatan letusan kecil daripada gunung berapi tersebut menunjukkan ia berpotensi untuk memuntahkan lahar yang besar, kata jurucakap agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Katanya, lebih 560 gempa bumi akibat gunung berapi direkodkan pada Isnin dan kebanyakannya adalah kecil.

Status amaran terhadap Gunung Agung ditingkatkan ke paras tertinggi pada Jumaat berikutan peningkatan ketara aktiviti seismik.

Kali terakhir ia meletus adalah pada tahun 1963 dan telah mengorbankan kira-kira 1,100 mangsa.

Menurut seorang lagi pegawai agensi bencana di Bali, Waskita Sutadewa, penduduk di kawasan sekitar mula berpindah ke seluruh pulau tersebut malah ada di antara mereka yang mencari perlindungan di Pulau Lombok.

Mangsa tinggal di tempat pelindungan sementara, pusat-pusat sukan, dewan rakyat dan bersama saudara mara atau kawan.

Terdapat juga penduduk yang kembali ke kawasan bahaya yang mempunyai jarak kira-kira 12 kilometer daripada kawah gunung berapi itu pada siang hari untuk memberi makan binatang ternakan.

Menurut para pegawai berkenaan, tiada ancaman kepada pelancong meskipun terdapat sebilangan yang telah memendekkan tempoh bercuti di Bali.

Ini kerana, letusan yang besar akan menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Bali ditutup dan seterusnya menyebabkan ramai pelancong terkandas.- MalaysiaGazette