Anggota Angkatan Pertahanan Awam membersihkan kawasan pusat pemindahan mangsa bencana di Sekolah Kebangsaan. Gambar hiasan

KANGAR – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah sedia menghadapi gelombang kedua banjir selepas banjir kilat melanda beberapa daerah di negeri itu Khamis lalu.

Pegawai Operasi APM Daerah Kota Setar, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, keadaan cuaca masih tidak menentu dan anggotanya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini.

“Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir kurang kepada 316 orang yang mana setakat ini hanya 4 pusat pemindahan mangsa dibuka di Daerah Kota Setar dan tengah hari nanti sebuah lagi pusat iaitu di SK Gunong, Alor Setar akan ditutup.

“Sekakat ini sekolah itu antara paling teruk terjejas di daerah ini yang masih menetap di sekolah itu.

“Cuaca masih tidak menentu lagi, jika hujan lebat minggu ini kita akan bersiap sedia dengan segala kelengkapan aset dan kekuatan anggota yang ada untuk bertindak segera,” katanya kepada pemberita di SK Titi Gajah di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 50 anggota termasuk pegawai APM dan sembilan bot, dua buah lori, tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan tiga ambulans sedia untuk digerakkan.

“Kalau banjir berulang lagi di kawasan terjejas ini kita akan buka semula pusat pemindahan bencana ini.

“Kami takut banjir berlaku lagi, kerana mengikut pejabat daerah sini ada kemungkinan hujan lebat, banjir berlaku bulan Oktober ini jadi kena bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan nanti,” kata beliau.

Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, setakat 8 pagi tadi hanya enam pusat pemindahan mangsa banjir yang masih dibuka.

“Seramai 192 keluarga dengan 651 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan dan 28 sudah ditutup selepas kesemua mangsa sudah pulang selepas air banjir surut. – MalaysiaGazette