Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

PETALING JAYA – Isu pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka selesai pada penghujung bulan Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya telahpun mengadakan pertemuan bersama waris, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) semalam.

“Secara keseluruhannya perbincangan itu menjurus kepada bagaimana kita perlu memindahkan kubur tersebut dan apakah kaedah- kaedah yang  perlu dibuat dan tentunya ia mendapat kelulusan daripada Majlis Fatwa Negeri yang telah kita peroleh sebelum ini.

“Jadi sepatutnya tidak ada isu-isu berbangkit tapi kita faham dari segi sensitiviti dan juga keresahan yang ditimbulkan oleh para waris yang terlibat”, katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri ECRL, di sini hari ini.

Tambah Darwis, pihaknya juga mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah dimuktamatkan oleh JAIS selain  berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera.

Malah ulasnya, lokasi pemindahan kubur tersebut juga telah dikenalpasti oleh JAIS dan ia amat berdekatan dengan tapak perkuburan lama.

“Isu-isu yang banyak dibangkitkan di Selangor telahpun selesai dan berkaitan peralihan kubur di Selat Klang itu, syarikat telah diarahkan untuk menangguhkan buat sementara sehingga 17 Mei ini.

“Kita juga berharap agar isu ini mendapat kerjasama baik dari semua pihak di Selangor khususnya bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 90 waris mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan saja sepanjang pembinaan ECRL di Tanah Perkuburan Selat Klang, Klang.

Waris juga mendakwa mereka tidak dibenarkan menghadiri proses pengalian dan pemindahan kubur dengan rata-rata jasad kurang dua tahun.

Bagaimananpun, mereka telahpun membuat  keputusan sebulat suara dengan mengumpul kesemua waris dalam pertemuan khas di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Ahad lalu.- Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast