Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan menunjukkan buku Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan pada Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2023 adalah lebih baik berbanding tahun 2022 apabila Gred Purata Nasional (GPN) tahun lalu adalah 4.60 berbanding 4.74 pada tahun 2022 iaitu perbezaan sebanyak 0.14.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023 dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.

Menurutnya, bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023, turut menunjukkan peningkatan iaitu seramai 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022.

“Sebanyak 60.6 peratus (226,358 calon) daripada 373,525 calon baharu telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 57.1 peratus (213,624 calon) pada tahun 2022.

“Syarat pensijilan SPM mulai tahun 2013 menetapkan calon sekurang-kurangnya lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Pada tahun 2023, peratus calon yang layak menerima sijil SPM telah menunjukkan peningkatan kepada 93.5 peratus berbanding 91.6 peratus pada tahun 2022.

“Peningkatan ini adalah sebanyak 1.9 peratus dan merupakan pencapaian terbaik sejak tahun 2013 berdasarkan syarat pensijilan SPM yang ditetapkan,” katanya.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan menunjukkan buku Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan pada Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MEI 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media laporan analisis keputusan peperiksaan SPM 2023, di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, secara kesimpulannya analisis keputusan peperiksaan SPM 2023 menunjukkan peningkatan pencapaian keseluruhan calon.

“Analisis juga menunjukkan bahawa KPM sentiasa komited dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti dan memastikan kesamarataan peluang kepada semua calon
di seluruh negara.

“KPM juga akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif yang sedia ada di samping Dasar Pendidikan Digital dan Pendidikan Manusiawi yang akan membantu ke arah memperkasakan pendidikan berkualiti di Malaysia,” katanya.

Seramai 395,870 calon yang telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara akan menerima keputusan pencapaian mereka.

Keputusan boleh diperoleh bermula pukul 10 pagi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara dalam talian.

Semakan melalui SMS boleh dibuat dengan menaip SPM NoKP AngkaGiliran dan hantar ke 15888. – MalaysiaGazete