Reaksi ceria Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Konvensyen Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 di Hotel Nouvelle, Sg.Besi, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Golongan penternak, peladang dan nelayan digesa agar membantu kerajaan dalam menyenaraikan kekayaan baru dalam sektor pertanian negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan sektor pertanian meneroka perniagaan baru yang mampu memberikan pulangan lumayan.

“Semoga Konvensyen Penternak, Peladang dan Nelayan 2017 ini akan dapat membantu kami untuk memikirkan perkara-perkara baru dan membantu kerajaan membuat dasar baru dan pendekatan baru yang dulu mungkin tidak terfikir.

“Siapa fikir tanam jagung bijian memang menjadi permintaan tinggi daripada syarikat pembuat makanan haiwan. Kita hanya mengimport jagung bijian berjumlah 3.2 bilion tan,” katanya.

Tambah Ahmad Shabery, penerokaan bidang-bidang baru dalam pertanian boleh membuka peluang pasaran yang lebih besar.

Memberikan contoh ikan patin yang susah untuk dijual namun kini ia berjaya dipasarkan malah ia memberi pulangan baik dan membina kekayaan kepada pengusahanya.

Langkah itu katanya, perlu bagi mengelakkan negara terus bergantung kepada sektor pertanian tradisional dan giat mencari peluang pasaran baru.

“China membuat pelaburan  di Malaysia kerana yakin pelaburan mereka akan dikembalikan.

“Mereka yakin dan membuka peluang kepada Malaysia. Bila kita fikir nak cari kejayaan baru, kita seharusnya membuka dan melihat pasaran yang lebih luas,” tambah Ahmad Shabery.

Katanya, kerajaan telah menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan China bagi membekalkan nenas segar sebanyak 500 tan.

Ia hasil daripada kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara itu baru-baru.

“Kalau kita berjaya teroka pasaran ini, kekayaan baru akan menanti kita di China. Kalau China memerlukan udang harimau, ikan sedia atau tidak kita pasarkan kepada mereka. Kerana ini membolehkan kita memperoleh kekayaan baru.

“Pada Oktober dan November depan kita akan adakah pesta durian di Naning, China. Malah kita kan bawa nangka ke sana. Mereka kata durian yang sudah diproses boleh bawa masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (KPPNK) 2017 di ibu negara.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim. -MalaysiaGazette.