Home Nasional Batal kelulusan JITN – MCW

Batal kelulusan JITN – MCW

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta membatalkan kelulusan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sebaliknya, JITN ini perlu dikekalkan sebagai sebuah unit penyelarasan seperti awal penubuhannya bagi membolehkan penyelarasan dilaksanakan dengan lebih berfokus.

Kelulusan penubuhan JITN ini pasti akan menyebabkan pertindihan tugasan dan tanggungjawab yang sama dengan agensi kerajaan yang lain contohnya Institut Integriti Malaysia (IIM), Biro Pengaduan Awam (BPA), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malaysia Corruption Watch (MCW) berkata, dalam keadaan kekangan kewangan dan ekonomi negara, penubuhan jabatan baharu seperti ini adalah satu pembaziran yang nyata.

“Lebih baik sekiranya, agensi kerajaan yang sedia ada dinaikkan taraf, ditingkatkan penambahan pegawai dan diberi lebih kuasa untuk bertindak dengan lebih efektif.

“Sepatutnya pihak yang berkenaan kaji dan teliti tindakan Kerajaan negeri Kedah pada zaman Menteri Besar yang terdahulu dalam kesilapan menubuhkan Jabatan Integriti Tadbir Urus (JITU)
Kedah.

“Jabatan tersebut ternyata gagal berfungsi dengan berkesan, akhirnya menjadi bebanan kepada kerajaan negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Begitu juga dengan urusan pengangkutan atau trafik, jelas penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga bertindih fungsi dan peranan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Trafik, Polis Diraja Malaysia, yang akhirnya menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

Comments are closed.