Home Ekonomi Malaysia tempat ke-23 laporan daya saing global

Malaysia tempat ke-23 laporan daya saing global

KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada kedudukan ke-23 dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (GCR) 2017/18 berbanding tempat ke-25 pada tahun lalu.

Kedudukan Malaysia bertambah baik dengan jumlah skor meningkat 0.01 kepada 5.17 daripada 7.

Pada kedudukan itu, Malaysia telah mengatasi Ireland dan Qatar dan mendahului ekonomi Korea, China, Iceland dan Estonia.

“Malaysia juga mengekalkan kedudukan paling berdaya saing dalam kalangan ekonomi baru muncul di Asia Timur dan rantau Pasifik, selain 20 ekonomi yang dalam peringkat peralihan yang dipacu oleh kecekapan kepada inovasi.

“Paling penting, semua negara-negara yang mengatasi Malaysia adalah negara-negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Laporan tahunan GCR diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia berdasarkan Indeks Daya Saing Global membabitkan 114 indikator yang menggabungkan aspek-aspek ekonomi mikro dan makro.

Indikator-indokator itu terbahagi kapada 12 tonggak iaitu institusi, infrastruktur, makroekonomi, alam sekitar, kesihatan dan pendidikan rendah, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran barangan, buruh, pembangunan pasaran kewangan, ketersediaan teknologi, saiz pasaran, kemodenan perniagaan dan inovasi.

Manakala 80 indikator lain pula, penilaian kualitatif dibuat berasaskan Kajian Ekonomi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Mustapa Mohamed menyambut baik peningkatan yang dibuat oleh Malaysia pada tahun ini GCR.

“Kedudukan terkini ini mengesahkan kekuatan asas makroekonomi dan dasar ekonomi Malaysia pada landasan yang betul. Eksport kita berfungsi dengan baik dan terus menerima aliran pelaburan langsung asing,” katanya.

Menurut laporan itu, Switzerland kekal sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut, mengatasi Amerika Syarikat, Singapura, Belanda dan Jerman.

Malaysia menduduki ranking 50 teratas dalam setiap 12 tonggak walaupun penurunan dalam 6 daripadanya.

Menurut MITI, Malaysia berada pada kedudukan paling kukuh dalam Pembangunan Pasaran Kewangan (ke-16) dan membuat peningkatan dalam kesihatan dan pendidikan rendah, meningkat 14 kedudukan hingga ke-30.

Di dalam tonggak infrastruktur, Malaysia meningkat dengan dua tempat kepada kedudukan ke- 22 dan persekitaran makroekonomi naik satu tangga kepada 34.

Negara juga berada dalam kedudukan 10 teratas dalam 10 petunjuk iaitu inflasi (1), kekuatan perlindungan pelabur (ke-3), pemerolehan kerajaan bagi produk teknologi maju (ke-4), beban peraturan kerajaan (ke-5), gaji dan produktiviti (ke-5), kos dasar pertanian (ke-7), ketersediaan saintis dan jurutera (ke-7), tahap latihan kakitangan (ke-9), ketersediaan modal teroka (ke-9) dan tahap pemasaran (ke-10).

Mustapa menambah, daya saing negara dapat diperbaiki jika ada koordinasi antara sektor kerajaan dan swasta serta masyarakat.

Tambah beliau, kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang akan terus memantau prestasi ekonomi berdasarkan Indeks Daya Saing Global bagi menampilkan cadangan perancangan dasar-dasar yang lebih baik pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast