KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia berkata, siasatan terhadap pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 oleh 1Malaysia Development Berhad telah dimuktamadkan pada bulan Mei tahun lalu dengan pembayaran kompaun.

Bank Pusat itu berkata, BNM telah dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam siasatan yang dijalankan berdasarkan undang-undang sedia ada dan protokol antarabangsa.

Tegasnya, BNM memandang serius isu integriti dan kebolehpercayaan dalam sektor kewangan dan sentiasa memastikan entiti-entiti di bawah kawalseliaannya tidak digunakan untuk kegiatan haram atau terlibat dalam aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan, kekukuhan dan integriti entiti terbabit dan industri kewangan.

Penjelasan itu dibuat kepada Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah melalui sepucuk surat,

Ia susulan memorandum kepada Gabenor BNM yang diserahkan oleh pakatan pembangkang pada bulan lalu.

BNM berkata, ia telah mengenakan kompaun sebanyak RM115.8 juta kompaun dan penalti pentadbiran dari tahun 2015 hingga Jun 2017 ke atas entiti-entiti terbabit. – MalaysiaGazette