KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diarahkan membayar ganti rugi RM150,000 dan kos guaman RM60,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membuat kenyataan fitnah sembilan tahun lalu.
Dalam keputusan penghakiman diumumkan Hakim Azizul Azmi Adnan, kenyataan Khairy ‘main belakang’ terhadap bekas ketua pembangkang itu mempunyai konotasi seksual.
Mahkamah juga membuang empat pembelaan yang diketengahkan Khairy iaitu justifikasi, justifikasi sebahagian, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat apabila Khairy gagal mewajarkan ucapan yang mencemuh Anwar itu.
“Dakwaan yang dibuat adalah serius dan boleh mempunyai maksud memfitnah,” katanya di Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim juga mengarahkan Khairy membayar faedah 4 peratus setahun di atas gantirugi RM150,000 itu bermula dari tarikh Anwar memfailkan saman iaitu 19 Februari 2008 dengan kos RM60,000.
Anwar, 70, memfailkan saman terhadap Khairy kerana kenyataan ‘main belakang’ di atu ceramah politik di Lembah Pantai pada tahun 2008.
Anwar berkata kenyataan itu bermakna dirinya seorang homoseksual, bermoral rendah, dan berkebolehan melakukan jenayah dan maksiat.
Beliau memfailkan saman selepas membaca laporan dan video portal berita.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit kesalahan meliwat pada 2015. – MalaysiaGazette