GUA MUSANG – Hasrat seorang wanita untuk balik berpantang di kampung halamannya di Kampung Tok Derpah, Pasir Mas dekat sini tidak menjadi kenyataan.
Takdir menentukan dia bersama bayi yang berusia 13 hari, suami dan anak sulungnya maut dalam kemalangan ngeri pagi ini.
Raizuamira Daud, 31; Zainuddin Anuar, 30; Nur Annisa Sofea, 2, dan bayi yang baharu lahir, Zayyan Nazreel maut selepas dihempap treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh di sini kira-kira pukul 8 pagi.
Kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka hancur dan pasukan penyelamat terpaksa mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mangsa.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta Proton Wira terperosok di bawah lori selepas diseret sejauh 100 meter dengan terdapat empat mangsa tersepit dan sudah meninggal dunia di dalamnya.
“Mayat pertama yang dikeluarkan ialah pemandu kereta diikuti seorang bayi lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan bermula pukul 8.40 pagi.
“Yang terakhir dikeluarkan pada pukul 10.30 pagi, iaituseorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang depan,” katanya di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan beras dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan ketika tiba di tempat kejadian.
“Ekoran daripada itu, treler tersebut telah melanggar Proton Wira dinaiki empat sekeluarga yang datang dari arah Gua Musang.
“Akibat pelanggaran kenderaan itu terperosok ke bawah treler mengakibatkan kesemua mangsa termasuk bayi berusia 13 hari tersepit dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian kerana cedera parah,” katanya.
Katanya, pemandu treler yang berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berhubung kejadian ini” katanya.
Tambahnya, kesemua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.- MalaysiaGazette
Empat maut bila kereta hancur dihempap treler