Dr. Mahfodz Mohamad.

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengeluarkan nada yang sama dengan kepimpinan Pas Pusat, bersiap sedia memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Jaminan itu dinyatakan Ketuanya, Muhamad Khalil Abdul Hadi kepada kira-kira 100,000 yang hadir pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal sini, hari ini.

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Dalam ucapannya, beliau yakin Pas akan melangkah ke Putrajaya berdasarkan senario sambutan ahli, penyokong dan orang ramai kepada parti itu kebelakangan ini.

Beliau berkata, jentera DPPM kini berada dalam mood bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita yakin PRU kali ini memberi ruang dan peluang kepada Pas dan komponen Gagasan Sejahtera (GS) untuk mentadbir negara dan melakukan perubahan yang lebih baik untuk rakyat.

“Kedatangan rakyat pelbagai peringkat dari seluruh negara dan berkampung di Pantai Tok Jembal selama dua hari dua malam, membuktikan Pas sedang mengalami perubahan yang positif ke arah menakluk Putrajaya,” katanya berucap pada Himpunan Fastaqim 2.0 di sini, hari ini.

Seramai lapan pemimpin Pas dari peringkat kepimpinan jawatankuasa dan sayap dewan mengambil bahagian dalam ceramah yang bermula kira-kira jam 3 petang itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, jentera parti akan berusaha memastikan setiap calon yang bertanding di kerusi Parlimen mahupun DUN akan beroleh kemenangan, termasuk yang berdepan dengan pertandingan tiga penjuru.

Kemenangan ini, ujar beliau, akan menjadi kenyataan sekiranya Pas mempunyai dana yang mencukupi untuk memastikan usaha kempen dapat menarik lebih ramai pengundi, selain ahli dan penyokong parti.

“Kekalahan Pas pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lalu, bukan penentu kepada PRU 14. Kekalahan dulu kerana semua jentera parti lawan turun bertumpu pada kawasan itu.

“Mereka juga mempunyai sumber kewangan yang banyak dan boleh buat apa saja untuk menang,” katanya yang disahut dengan laungan takbir, Allahu Akhbar.

Bagi Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh memberitahu, parti itu perlu bekerja kuat dan melipatgandakan kempen memujuk orang ramai memberi undi kepada calon Pas.

Walaupun kerja itu tidak mudah, katanya, jika Pas berjaya meyakinkan orang ramai bahawa parti itu mampu mengganti UMNO, kemenangan mutlak pasti berada dalam tangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast